Sunday, June 26, 2011

-giving not for receiving-




JADILAH SEORANG RAJA!

“Berapa lama awak dalam bidang ini?” Begitu kadang-kadang anda ditanyakan orang. Kemudian yang bertanya akan membandingkan pencapaian itu dengan pencapaian si polan itu, si polan ini. Silap-silap anda akan terasa kerdil bila si penanya akan meletakan ‘orang besar’ dalam bidang tersebut sebagai penanda aras kecapaian. Aduh, terasa anda masih jauh. Anda masih merangkak ketika orang lain telah berjalan, berlari dan melompat. Anda kalah, kalau jika sebaik sahaja perbualan itu tamat, anda mula merasakan, oh, malangnya nasib ku!

“Berapa ramai anak di universiti?” Sebaik sahaja anda menjawabnya, si penanya akan bertanya, “dalam bidang apa? Doktor, jurutera, farmasi atau arkitek?” Jika anak anda berada di bidang-bidang lain, yang tidak dianggap ‘prestij’, si penanya akan menerangkan betapa ‘rendahnya’ nilai profesion anak anda itu jika bidang pengajiannya ‘biasa-biasa’ sahaja. Jika tidak berhati-hati, rasa rendah hati akan tersuntik tanpa disedari. Alangkah bertuahnya dia, alangkah ruginya aku…

Itu belum lagi anda bertemu dengan ‘pak lawak’ yang merasa besar hanya kerana punya kenalan di kalangan ‘orang-orang besar’. Anda seperti hendak ketawa bila dia bercerita tentang Tan Sri itu, Puan Sri ini, Datuk ini, Datin itu, yang kononnya sangat akrab dengannya. Padahal dia hakikatnya hanya ‘pecacai’ sahaja kepada orang besar yang diuar-uarkannya itu. Keinginannya menjadi besar menyebabkan dia ‘kecil’ bila hilang harga diri dan suara hati sendiri ketika bergaul dengan ‘orang besar’nya. Angguk-angguk, tunduk-tunduk… Ya, Tok! Yes, Tan Sri!

Perkara-perkara yang saya sebutkan di atas, mengingatkan saya kepada perbualan bersama Mat (bukan nama sebenar) seorang sahabat yang sangat akrab dengan saya.

“Bagaimana rasanya bila tidak dihargai?” tanya Mat. Nadanya sedih.

“Mengapa?” tanya saya simpati.

“Mereka masih melihat jawatan, harta dan nama.”

“Kau tidak perlu penghargaan mereka yang seperti itu.”

Dia merenung jauh.

“Kalau kita dihargai kerana berpangkat, berharta dan bernama, penghargaan itu hakikatnya bukan untuk kita tetapi untuk pangkat, harta dan nama.”

“Tetapi aku sedih… Setelah sekian banyak yang aku lakukan.”

“Jangan mengharap terima kasih Mat. Nanti kita sakit jiwa. Hakikatnya, majoriti manusia yang hidup di dunia ini tidak pandai berterima kasih. Jika kepada Allah pun hanya sedikit manusia yang mampu bersyukur, inikan pula kepada sesama manusia,” kata saya seakan memujuk.

“Aku sedih, itu sahaja…”

“Lupakan Mat. Aku kenal kau sejak dulu. Kau tak perlukan penghargaan kerana kau sememangnya berharga. Kata bijak pandai, jangan sedih kalau kita tidak dihargai tetapi sedihlah jika benar-benar kita tidak berharga.”

Mat mendongakkan mukanya yang sejak tadi tunduk.

“Apa maksud kau?”

Melihat Mat mula tenang saya mula bercerita. Ada dua cerita, secara santai saya mula bercerita: Pertama, cerita tentang Nasiruddin seorang Sufi yang ketika dia masuk ke sebuah kampung, seluruh kampung mengalu-alukan kedatangannya.

“Selamat datang ulama, selamat datang orang alim… Ajarkan kami, ajarkan kami,” sorak penduduk kampung.

“Mengapa kamu semua merasakan aku orang alim?”

“Kerana serban besar yang tuan pakai.”

Nasiruddin pun membuka serbannya dan dipakaikan ke kepala keldai yang ditunggangnya.

“Nah, sekarang kau semua belajar daripada keldai ku. Dia alim sekarang, kerana telah memakai serban besar!”

Mat ketawa mendengar cerita saya.

“Kau tahu, Nasirudin tetap Nasiruddin walaupun tanpa serbannya. Yang lebih penting ialah diri kita bukan pakaian, gelaran dan harta yang kita miliki. Dan kita sebenarnya tidak perlu penghargaan orang asalkan kita pandai menghargai diri kita sendiri.”

“Betul ke?”

“Ini hasil kajian pakar psikologi Mat… Menurut mereka penilaian kita terhadap diri sendiri jauh lebih penting berbanding penilaian orang lain terhadap kita.”

“Jadi, jangan sampai penilaian orang lain mempengaruhi penilaian kita terhadap diri kita sendiri, begitu maksud kau?”

“Kau lebih tahu Mat. Lagipun apa gunanya penghargaan daripada orang yang sebegitu. Hidup terlalu singkat untuk kita berikan masa bagi mereka yang semacam itu.”

Cerita kedua: Seorang bijak pandai telah dijemput ke satu majlis jamuan makan. Dengan pakaian yang sangat sederhana bijak pandai itu pun pergi ke sana. Malangnya, setibanya di majlis itu dia tidak dijemput langsung untuk makan. Tuan rumah mengutamakan orang-orang kenamaan yang lain. Si bijak pandai pulang semula ke rumahnya lalu menukar pakaian yang mahal dan gemerlapan dan pergi semula ke majlis tersebut. Kali ini dia disambut dengan mesra dan dihidangkan makanan yang lazat. Si bijak pandai lantas menuangkan lauk-pauk dan makanan yang terhidang ke pakaiannya. “Mengapa?” tanya orang ramai. Si bijak pandai menjawab, “tuan rumah hendak menjamu pakaian ku bukan diri ku!”

Sekali lagi Mat ketawa.

“Mat, orang pandai kenal orang bodoh. Tapi orang bodoh tak kenal orang pandai. Life is to ‘complete’ not to ‘compete’ – hidup bukan satu pertandingan, tetapi satu perkongsian. Tinggalkan mereka yang asyik nak bertanding dengan harta, nama dan jawatan. Kita teruskan dengan perkongsian ilmu, iman dan kebajikan. Yang penting ikhlas. Memberi bukan untuk menerima. Berjuang bukan kerana nama!”

Kemudian, giliran Mat pula bercerita – betapa ramai anak yang begitu ‘admire’ dengan Ibu Mithali yang dinobatkan oleh pihak itu dan ini sehingga mengecilkan jasa ibu sendiri. Kononnya, ibu Mithali itulah yang lebih baik daripada ibu mereka sendiri. Dan betapa ramai pula ibu yang impikan anak seperti mereka yang dianugerahkan ‘Pelajar Cemerlang’, ‘Remaja Dedikasi’ dan sebagainya… hingga merasakan anak sendiri kurang ‘harga’nya.

“Apa pesan awak untuk anak dan ibu seperti itu?”

“Aku katakan, ibu kita mungkin bukan ibu yang terbaik… tetapi sebagai anaknya, kita mesti nampak di mana kebaikan ibu kita sendiri.”

“Tepat Mat. Begitulah juga dengan diri sendiri. Kita ini bukan orang terbaik, tetapi kita mesti menghargai ‘kelebihan’ atau ‘kebaikan’ kita sendiri. Kita akan memajukan diri kita ke tahap maksimum selaras dengan kelebihan itu.”

“Ertinya kita bertanding dengan diri sendiri?”

“Betul tu, bertanding dengan diri sendiri, berkongsi dengan orang yang lain.”

Oh, alangkah tenangnya diri jika berpegang kepada prinsip sendiri daripada terpaksa hidup bermuka-muka dengan topeng yang dipakai oleh kepura-puraan manusia… hanya untuk mencari nama, harta dan jawatan. Saya teringat cerita seorang Raja bertanya kepada seorang petani miskin, “siapa kamu?”

“Saya raja,” jawab petani.

“Raja?”

“Ya, raja pada diri saya sendiri!”.


APABILA DITIKAM DARI BELAKANG…

-gentarasa-







"..Jangan sedih kalau kita tidak dihargai,
tetapi sedihlah jika benar-benar kita tidak berharga..”



Wednesday, June 22, 2011

-oranges-





Bulan itu jingga. Oh 'Jingga'.



Thursday, June 9, 2011

-words-





Appearance lits light of smile.



Wednesday, June 1, 2011

-double-sixthple-




...dahulu...

B -----> A



...kini...


B -----> C



*Jauh perjalanan, luas permandangan*